Sebuah premis memproses todi di Pusing, dekat sini, yang telah beroperasi sejak 30 tahun lalu, diarah tutup serta-merta selama 14 hari untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Walaupun pemiliknya mempunyai lesen daripada Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan, keadaan premis itu sangat kotor sehingga terdapat tikus mati di dalam salah satu tong memproses todi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak A Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan mempunyai kuasa mengeluarkan arahan penutupan tersebut mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Kita akan sita tempat ini dan pemilik mempunyai 14 hari untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan. Selepas 14 hari, pegawai Jabatan Kesihatan akan melawat lagi tempat ini.

"Kalau pihak ini puas hati, mereka boleh teruskan dengan kerja-kerja mereka, penjualan mereka. Dan jika kita tidak puas hati, kita akan lanjutkan tempoh 14 hari itu," katanya.

Sivanesan ditemui selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke premis itu dalam satu operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan penjualan minuman beralkohol hari ini.

Premis berkenaan terletak jauh daripada kawasan perumahan dan dikelilingi pokok kelapa, yang merupakan sumber bahan utama dalam proses membuat todi.

Operasi bermula pukul 10 pagi yang disertai pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Makmal Kesihatan Awam, Ipoh, itu turut melakukan pemeriksaan di sebuah kilang minuman keras di Kawasan Industri Pengkalan Maju, Jelapang.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan.

Menurut laporan Bernama, pemilik premis memproses todi itu akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya masih berdegil dengan menjalankan operasi pada tempoh masa yang dilarang.